|
SEJARAH KIPSAS
Kewujudan Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS) adalah
merupakan titik tolak pertama ke arah pembangunan dan kemajuan
pendidikan tinggi Islam di negeri ini. Sejarahnya bermula pada 27 Ogos
1996 apabila Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri meluluskan idea
penubuhannya.
Buat
permulaannya, KIPSAS menampung keperluan saluran pengajian tinggi bagi
pelajar-pelajar lepasan sekolah menengah agama negeri untuk melanjutkan
pelajaran mereka di institusi pengajian tinggi.
Pengambilan kumpulan pelajar pertama seramai 67 orang telah dimulakan
sebaik sahaja menerima keputusan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.
Kolej yang cukup sinonim dengan KDYMM Tuanku Sultan Pahang, Sultan Ahmad
Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar ini telah
dirasmikan oleh Baginda pada 16 November 2000 bersamaan 19 Syaaban
1421H. Sultan Pahang menjadi simbol dan lambang kegemilangan kolej ini
di negeri Pahang.
Mulai April 1998
KIPSAS berdaftar sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi
swasta tetapi bernaung sepenuhnya di bawah anak syarikat kerajaan
negeri, Sistem Pendidikan Islam Pendidikan Sendirian Berhad (SPIPSB).
Kolej yang menawarkan peluang pengajian peringkat diploma ini telah
mendapat kelulusan Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 1996. Ini
bermakna kerajaan negeri memberikan komitmen yang padu terhadap
KIPSAS terutama menerusi geran peruntukan tahunan. Kolej ini dibina
di atas tanah seluas kira-kira 41 ekar melibatkan perbelanjaan sebanyak
RM41 juta meliputi bangunan pentadbiran, bangunan akademik,
perpustakaan, blok-blok asrama pelajar, kafetaria, dewan besar, kompleks
sukan, kediaman Presiden dan pensyarah/staf dan telah siap
dibina pada Februari 2000.
Seluas 600 ekar tanah juga telah
diperuntukkan oleh kerajaan negeri Pahang bagi menampung perkembangan
pembangunan dan sebagai aset kepada KIPSAS.
Manakala
terdapat sebuah masjid bernilai hampir RM10 juta sebagai mercu tanda
kebanggaan kolej ini. Tahun 2006 merupakan tahun kesepuluh penubuhan
KIPSAS, dan ini menandakan sudah hampir sedekad kolej ini
telah memacu kecemerlangan pendidikan tinggi Islam di negeri Pahang dan
mengeluarkan sumber modal insan yang berkualiti dan bertepatan dengan
aspirasi pasaran kerjaya.
|